BEIJING: Pavilion Sarawak menjadi tumpuan utama pada pameran Antarabangsa China untuk Perdagangan Perkhidmatan (CIFTIS) 2023 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Nasional China, Beijing.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan pejabat Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan hari ini, Sarawak Pavillion berjaya menarik ramai pengunjung dengan mempamerkan tawaran unik yang merangkumi peluang pelaburan, budaya, pelancongan, makanan dan minuman, pendidikan dan perkhidmatan lain yang ditawarkan oleh Sarawak.
"CIFTIS berfungsi sebagai platform bagi rundingan perdagangan antarabangsa, kerjasama dan pelaburan dalam sektor perkhidmatan.
"Ia menarik peserta global daripada pelbagai industri, termasuk kewangan, teknologi, penjagaan kesihatan, pelancongan, pendidikan dan banyak lagi.
"Menerusi acara ini, Sarawak berpeluang untuk mempamerkan potensi ekonominya, memupuk hubungan perniagaan dan meneroka peluang kerjasama dengan rakan kongsi domestik dan antarabangsa.
"Selain itu, CIFTIS 2023 memberi peluang kepada Sarawak untuk melibatkan diri dengan pemimpin global yang berpengaruh, pegawai kerajaan, pakar industri dan bakal pelabur," menurut kenyataan media itu.
Pavilion Sarawak dilancarkan secara rasmi pada Sabtu (2 September) oleh Awang Tengah, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan dan Menteri Kedua Sumber Asli dan Pembangunan Bandar.
Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
CIFTIS 2023 dijadual berlangsung dari 2 hingga 6 September ini.
Sumber dari : Jiwa Bakti